Artikel ni menarik perhatian aku
Apa perlu filem Melayu?
Untuk menjadi popular dan mengaut sedikit untung, karyawan filem Melayu terpaksa melakukan pengorbanan yang paling besar; menghina intelek penonton dan menjaja sampah sarap.Sebagai karyawan tentunya dua perkara ini merupakan `dosa' paling besar dalam prinsip kese-nimanan mereka. Karyawan antara tugas mereka berusaha membawa khalayak yang bebal menjadi sedikit cerdik. Pada masa yang sama mereka sudah pasti tidak akan menjaja benda-benda yang merosakkan kesihatan minda.
Kita sebenarnya sangat menghargai pengorbanan karyawan yang sanggup menghina intelek penonton dengan filem-filem mereka. Tetapi kita juga merasa sedih, kecewa dan marah kerana dalam kepala mereka tidak ada yang lain kecuali untung dan terus untung.
Mereka selalu meminta simpati, ``Tengoklah filem Melayu.'' Maka berduyunlah ke pawagam dan mengeluarkan wang derma. Bukan tengok percuma. Tetapi karyawan filem atau usahawan filem tidak pernah bersimpati kepada penonton.
Kalau simpati tentulah hidangan filem mereka tidak seperti yang ada sekarang. Lalu jangan salahkan penonton kalau memilih untuk minum kopi di Starbucks daripada menonton filem Melayu.
Apakah menghina intelek penonton secara tidak rasmi menjadi formula filem Melayu? Lalu berkatalah di sana sini filem bermutu tidak laku, yang laku hanya filem buruk, bebal dan dangkal. Buktinya banyak karyawan tidak pernah berusaha untuk menjadikan karya mereka baik. Mereka lebih menjaja kutipan daripada bercakap mengenai filem dalam konteksnya sebagai sebuah karya.
Kalau menghina intelek penonton menjadi syarat, tentu lebih baik kita menonton filem asing yang lebih menghargai penonton. Tujuan menonton filem Melayu atau filem tempatan adalah untuk menikmati budaya dan nilai masyarakat setempat di sekeliling kita. Kalau benda-benda ini tidak ada tidak perlulah kita menonton filem Melayu.
Kita boleh menonton filem asing yang baik dan banyak ditayangkan di pawagam tempatan. Tetapi kita hanya menonton budaya dan sudut pandangan dunia mereka dan bukan sudut pandangan kita. Kerana itu kita sangat memerlukan filem tempatan.
Tetapi kalau filem Melayu juga membawa budaya dan sosial fantasi dari Hong Kong atau Hollywood, apa istimewanya filem Melayu? Lebih baik menonton filem Hong Kong atau Hollywood yang sudah pasti lebih baik persembahannya daripada filem Melayu.
Filem Melayu tidak bermaruah kalau sekadar menyalin fantasi sosial yang popular dari luar dan mendakwa inilah filem Melayu. Apalah sangat de-ngan sumbangan industri filem hingga kita sanggup mengorbankan nilai yang seharusnya ada.
Kalau filem Melayu menjana pendapatan yang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ada juga alasan untuk mewajarkan intelek penonton dihina. Tetapi pada tahap kutipan sekarang, filem Melayu tidak menyumbangkan apa-apa kepada negara. Memancarkan nilai budaya tidak, menyumbangkan kepada pendapatan negara pun tidak juga.
Akhirnya kita terpaksa mengakui orang seperti U-Wei, Adman, Suhaimi Baba dan terbaru sekali Yasmin Ahmad cuba untuk popular tanpa menghina intelek penonton. Mereka percaya filem yang buruk dan bebal tidak semestinya berjaya. Filem yang baik setidak-tidak ada juga maruahnya.Petikan Utusan Malaysia 28 Febuari 2005
No comments:
Post a Comment