BARU-baru ini Bro berbual-bual dengan beberapa orang kawan tentang
drama Korea yang ketika ini cukup menjadi kegilaan terutamanya dalam
kalangan kaum wanita.
Macam-macam mereka cerita berhubung gelagat isteri masing-masing yang dah terkena penangan drama Korea ini.
Sebenarnya, inilah 'penyakit' yang ada kepada kaum perempuan, mereka
mudah sangat lentuk dengan drama-drama Korea yang Bro rasa sebahagian
besarnya tidak memberi apa-apa pun faedah dalam kehidupan kita terutama
bagi yang sudah bergelar isteri.
Bro tidak kisah jika ada isteri yang meluangkan masa untuk merehatkan
minda selepas bekerja untuk menonton drama berkenaan. Malahan Bro
hormat kepada perempuan yang menjadikan drama tersebut sekadar hiburan
semata-mata. Tetapi yang Bro pertikaikan ialah ada antara
perempuan-perempuan ni sudah terlalu taksub dengan drama Korea sampai
tanggungjawab melayan suami diabaikan.
Ini belum lagi mengambil kira bagaimana perempuan bertaraf 'nenek'
habis masa berjam-jam tonton cakera padat video (VCD) drama Korea,
sampai cucu pun tak minat nak pergi rumahdia.
Mungkin ada kaum perempuan yang menempik Bro dengan menganggap semua
ni tuduhan palsu tetapi ini realiti. Masa kualiti bersama suami banyak
dihabiskan dengan menonton drama yang tidak berfaedah itu.
Malahan ada sesetengah perempuan sanggup membiarkan suami
terkebil-kebil seorang diri di atas katil kerana hendak menonton dulu
drama Korea yang ditayangkan di kaca televisyen.
Bagi perempuan macam ini, seolah-olah terlepas satu episod ibarat
satu kerugian terbesar dalam hidup, sedangkan drama tu boleh ditonton
semula di internet, bukan macam zaman dulu tak ada internet.
Sepatutnya, apabila berada di samping suami tumpu perhatian kepada
suami, lelaki ni perlukan belaian apatah lagi ketika keletihan selepas
seharian bekerja. Tetapi masalah perempuan ni, mereka buat-buat tak
faham, ikut kepala mereka sahaja, bagi mereka drama Korea itu lebih
penting daripada bergurau senda atau berbual-bual dengan suami.
Apa yang paling malang ada sesetengah perempuan terikut-ikut dengan
perangai dan taktik yang digunakan oleh watak-watak dalam drama yang
mereka tonton.
Bercakap dengan suami pun dah kasar, melayan suami pun macam hendak
tak nak sahaja, lepas tu dah pandai bercakap soal hak kaum perempuan.
Bro bukannya anti drama Korea, sekali kala Bro pun tonton juga tetapi
bukannya cerita fasal perempuan kena aniaya dek suami atau perempuan
yang dikecewakan oleh lelaki. Semua itu buang masa sahaja, Bro hanya
tonton drama yang boleh bagi Bro berfikir macam drama berjudul 'Ghost' -
tapi Bro yakin ramai perempuan tak tonton drama ni sebab perempuan
malas nak fikir, mereka nak tengok drama yang boleh mengalirkan air mata
sahaja, cerita-cerita kononnya perempuan dianiaya mereka sukalah.
Tetapi dalam realiti sebenarnya, tidak semua lelaki mengecewakan
perempuan, banyak juga perempuan yang mengecewakan lelaki, namun drama
macam ni tak begitu diminati oleh perempuan sebab tidak menyebelahi
mereka. Apa pun Bro nak pesan, Bro tak kisah banyak manapun drama yang
hendak ditonton oleh perempuan tapi pandai-pandailah membahagikan masa
dan menunaikan tanggungjawab kepada suami.
Bro ada ramai kawan perempuan yang minat cerita Korea ini, ada
antaranya sanggup menghabiskan masa berjam-jam tonton drama itu melalui
internet, Bro tak kisah sebab Bro tahu mereka tidak mengabaikan
tanggungjawab kepada suami.
Apa yang Bro nak nasihatkan ialah kepada perempuan yang mengabaikan
tanggungjawab memenuhi masa berkualiti bersama suami dan terlalu taksub
dengan drama Korea sehingga terbawa-bawa dalam kehidupan sebenar.
Cukup-cukuplah fikiran kita dah berserabut dengan banyak drama Melayu
yang memberi contoh tidak baik kepada kehidupan manusia, tak usahlah
drama Korea pula nak menambahkan lagi kerosakan berkenaan. Kalau dah
taksub sangat kepada drama Korea itu pandai-pandailah bahagi masa antara
melayan suami dengan menonton drama berkenaan.
Bro percaya ramai suami tidak kisah, kalau isteri mereka menonton
drama Korea asalkan layanan terhadap mereka tidak diabaikan dan tidak
mencontohi budaya buruk dalam drama itu.
Satu lagi Bro nak pesan kepada kaum perempuan, ubahlah sikit sikap
suka sangat drama-drama yang mengalirkan mata ini. Baru-baru ini heboh
fasal satu drama Melayu yang dianggap oleh kaum perempuan kalau tak
tengok rugi seumur hidup. Bila Bro tinjau-tinjau rupanya kisah fasal
sepasang suami isteri yang sampai ke tanah suci Mekah dan Madinah pun
bertengkar, macam ni ke kita nak buat contoh dalam kehidupan rumah
tangga. Sepatutnya, sudah ada kematangan dalam kalangan kaum perempuan
untuk menolak drama-drama yang tidak memberi contoh baik kepada
masyarakat termasuklah drama Korea.
Tetapi biasalah perempuan, kononnya hati mereka lembut dan mudah
tersentuh, sedangkan drama tetap drama ia bukan sebuah realiti dalam
kehidupan di alam fana ini.
Sebab itulah ramai pelakon pandai berlakon termasuklah dalam
kehidupan sebenar mereka dan itu bukanlah sesuatu yang menghairakan
kerana dalam kalangan perempuan bergelar isteri yang bukan artis atau
pelakon pun, ramai yang pandai berlakon. Apa maksud Bro? Fikirlah
sendiri!
- JUMPA LAGI!

